Friday, 24 April 2009
Hanya Satu Cerita : Tinggal di asrama 2
Teringat pula zaman tinggal di asrama dulu, Program Masak Bubur Asyura versi Kelantan. Ini merupakan program gotong royong memasak yang pertama bagi saya. Waktu itu saya berada di tingkatan satu. Jadi, program ini merupakan satu pengalaman baru buat pelajar seperti saya. Justeru, ia masih tidak dapat dilupakan sehingga hari ini.
Program yang dijalankan dihujung minggu ini berjalan lancar seperti mana yang dijadualkan. Rasanya semua pelajar seronok dengan aktiviti ini, maklumlah kami bosan juga dengan program berbentuk akademik sahaja dan ditambah pula dengan aturan jadual pembelajaran yang padat. Tidak dinafikan kadang-kadang rasa seperti mahu berpindah ke sekolah harian biasa dan tinggal bersama keluarga. Akan tetapi, apakan daya kuasa veto bukan terletak ditangan sendiri. Jadi, suka atau tidak segala cabaran harus ditempuhi.
Kenapa program ini berbekas dihati? Terlalu bagus ke program ini?
Kisahnya bermula apabila sesi memasak bubur asyura di dalam sebuah kawah yang besar. Setelah segala ramuan, rempah-ratus, ayam dan daging (jika tidak silap) dan bijiran siap dimasukkan. Maka, sesi mengacau bubur menggunakan pengacau kayu yang besar pun dimulakan. Ianya dijalankan secara bergilir-gilir mengikut kumpulan masing-masing. Di samping itu, ada juga yang ditugaskan untuk menjaga api agar tidak terlalu garang atau tidak terlalu kecil.
Pada waktu yang sama, kami juga berbual-bual sesama sendiri untuk mengisi masa dan menghilangkan kebosanan. Rasanya seronok sungguhlah waktu itu.. Tambahan pula, kami memasak di bawah pokok rambutan di depan bangunan asrama, dengan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Hilang rasa stress masing-masing setelah penat mentelaah pelajaran.
Selang beberapa waktu, sebelum sempat bubur itu masak, tanpa disedari langit yang asalnya cerah kini sudah bertukar rupa, dipenuhi dengan awan-awan gelap. Menandakan bila-bila masa sahaja hujan akan turun. Justeru, saranan seorang guru bertugas agar kami memindahkan kawah bubur asyura dan tungku memasak ke bawah sebuah garaj kereta. Jadi, berpindahlah periuk dan kawah tersebut.Aktiviti memasak, mengacau bubur diteruskan lagi, begitu juga gelak ketawa dan bual bicara antara kami.
Tiba-tiba, sedang leka mengacau bubur, terjatuh satu objek hitam daripada bumbung garaj tepat ke dalam periuk. Terkedu juga mereka yang mengacau bubur melihatnya. Semua terdiam seketika sehingga salah seorang bertanya, ''apa tu?''.
Ada juga yang menjawab, ''kayu agaknya..''.
Maklumlah garaj itu pun agak berusia juga. Ada yang mencadangkan agar dikeluarkan objek tersebut. Jadi, salah seorang yang mengacau bubur pun mula mencari dan akhirnya berkata ''dapat..lah..''
Tanpa menghabiskan ayat..dia terus menjerit dan terlompat-lompat sambil mengatakan.. ''eh..gelinya..korang tengok lah sendiri''.
Apalagi, semua yang penuh dengan tanda tanya.. pun mengambil senduk kayu pengacau tadi ..keluarkan objek tersebut.. serentak lah..menjerit '' Cicak la..''.
Sudahlah cicak itu hitam, besar pula .Cicak ini bukan seperti cicak yang biasa didapati di dalam bangunan atau rumah. Kelazimannya, cicak seumpama ini saya jumpa dicelah-celah kayu atau papan lama. Namun mujur cicak tersebut sudah hampir mati kepanasan. Senang sahaja kami mengangkat dan membuangnya. Kemudian kami segera memberitahu guru bertugas. Secara kebetulan beliau baru sahaja meninggalkan tempat kami memasak.
'' Cikgu, cicak jatuh dalam bubur.. besar dan hitam pulak itu.. tapi dah mati la..kami dah keluarkan., macam mana.. nak buang ke..bubur tu''. Antara perkataan yang saya ingat lagi dituturkan oleh kawan baik saya.
''Jangan.. sayang kalau dibuang. lagipun tak ada apa-apa tu..kamu dah keluarkan dia.. cukuplah.'' balas guru kami dengan tenang.
''Hah..nak makan lagi ke.. geli la..cikgu..kami tak selera..nampak warna sama je.. dengan bubur tu..'' balas kawan saya semula ..dek kerana tidak berpuas hati dengan jawapan guru tersebut.
'' heh.. jangan macam tu.. cicak tu.. kecil sahaja berbanding dengan bubur yang banyak..'', ujar guru tersebut dengan lembut kepada kami.
'' Besar la.. cikgu..cicak tu.. bukan macam kat siling dan dinding rumah tu..'', ada rakan yang menambah. Rasanya semua yang melihat memang rasa macam nak buang sahaja semua bubur itu.
'' Baiklah..kalau kamu semua tak mahu makan tak apa..tapi, jangan beritahu kawan-kawan yang lain. sekarang teruskan masak bubur itu sampai siap..'' , arahan guru tersebut yang sedari awal kurang setuju dengan usulan kami untuk membuang sahaja bubur tersebut.
Jadi, tanpa pilihan kami pun teruskanlah memasak bubur tersebut sehingga siap. Apabila tiba waktu makan, kami yang menyaksikan peristiwa itu memang tiada selera mahu menjamahnya walaupun ramai yang memuji kesedapan bubur tersebut. Waktu itu terasa kecur juga air liur untuk merasanya. Akan tetapi, perasaan geli teringatkan objek itu masih tidak hilang lagi.
Ada juga yang bertanya , '' korang letak apa ni.. lain je rasanya..sedap la..''.
Mahu sahaja kami menjawab, '' Cicak la.. cicak hitam...''. namun semuanya tidak terkeluar daripada mulut masing-masing.Sebenarnya, bubur tersebut memang sedap kerana ia rasa berempah ditambah pula dengan adanya ayam dan daging. Rasa tersebut tiada kena-mengena dengan objek yang terjatuh ke dalamnya.
Ada juga yang hairan kenapa kami tidak menjamahnya walaupun sedikit.Namun akur pada arahan, semuanya sepakat mengatakan kami sudah makan sebaik sahaja kami selesai memasak bubur tersebut..
Namun... rasanya, ramai yang sudah mengetahui.. apakah bahan tambahan kepada bubur tersebut. Cuma, mereka hanya mendengar cerita.. berbanding kami yang melihatnya. Sudah pasti berbeza..
* cerita ini diceritakan ..untuk bacaan anak-anak yang tersayang yang amat kurang sekali membaca bahan penulisan yang berbahasa Melayu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment