Semoga Allah sentiasa memberikannya kekuatan untuk terus memperjuangkan perkara-perkara yang benar berlandaskan Al Quran dan Hadis..atau dalam erti kata lain menegakkan kebenaran tanpa dipengaruhi oleh mana-mana parti politik.
Banyak juga perkara yang disampaikan.Menarik setiap hujah yang diberikan. Tampak jauh bezanya daripada ceramah yang biasa saya dengar daripada ustaz atau ustazah lain sebelum ini.
Antara yang diperkatakan hari itu, adalah menyentuh tentang 'ayat seribu dinar' .. atau pun lebih khusus lagi ayat 2-3 daripada surah At Talaq, dan terjemahannya sebagaimana di bawah..
( saya rujuk terjemahannya daripada buku Amalan Harian Sepanjang Zaman -yang disemak oleh Al-ustaz Dato' Haji Ismail Kamus, dan sebuah buku doa yang lain - saya hanya membawa ke sini beberapa salinan muka surat sahaja..buku asal tersimpan di Malaysia)..Cuba hayati maksud ayat-ayat ini..
Apa yang mahu saya ceritakan disini, adalah kisah semasa saya membuat ijazah sarjana beberapa tahun lepas.
Masih segar dalam ingatan, satu pagi setelah meletakkan beg di kerusi, komputer riba di atas meja, dan leka menyemak fail kurikulum sekolah, tiba-tiba adik pembantu pejabat menyampaikan pesanan untuk segera ke pejabat kerana ada satu panggilan penting untuk saya. Berderau juga darah, tidak pernah mendapat panggilan seumpama itu.Hati mula berkata-kata. Lantas segera bergegas ke pejabat dan menyambut panggilan tersebut. Rupa-rupanya daripada Penyelia Projek Sarjana saya. Terkejut, kerana kebiasaanya beliau akan menghubungi talian telefon bimbit saya. Pagi itu mengapa tidak?
Masih ingat lagi, beliau menyatakan,'' Projek yang you hantar tu ada masalah sikit''.
Tersirap darah mendengarnya, air muka saya memang sudah betul-betul berubah, seperti mahu menangis mendengarnya. Akan tetapi, tidak mengapa, saya mahu mendengar dengan lebih lanjut lagi.
Pelik bercampur hairan mengapa timbul masalah, sedangkan sebelum ini beliau tidak pernah memberi apa-apa komen tentang itu. Kenapa setelah semuanya dihantar beliau menyatakan ianya bermasalah. Antara persoalan yang berlegar di kepala saya.
'' Apa yang tidak kena Dr?'', soal saya semula, ingin tahu.
''I call nie sebab nak beritahu you mungkin kertas Projek yang you hantar itu mungkin gagal,sebab ada beberapa perkara yang I rasa you buat silap''..jelas Penyelia saya dalam nada yang biasa saya dengar.
Sewaktu mendengar kata-kata beliau tidak dapat saya gambarkan bagaimana perasaan saya di waktu itu..terbayang usaha penat lelah selama 2 tahun lebih sia-sia sahaja.Saya hanya mampu terdiam untuk mengawal perasaan. Sebenarnya menahan rasa sebak kerana rasa benar-benar kecewa dengan penjelasannya.
Mungkin beliau menyedari keadaan saya, penyelia tersebut bertanya semula, ''kalau projek ini gagal cukupkah CGPA you untuk graduate ''.
Saya dengan menahan sebak, menyatakan jika gagal projek itu, CGPA saya masih melayakkan saya graduate ijazah sarjana. Ini kerana CGPA saya masih lagi berada melebihi 3.00. Akan tetapi, saya bukan mahu lulus cukup-cukup makan sahaja. Rasanya saya telah berusaha untuk mendapatkan lebih daripada itu.
''Apa yang saya boleh buat sekarang Dr.?'', soal saya perlahan.
''Bolehkan saya ambil dan baiki semula?'', pinta saya mengharapkan jawapan yang positif daripadanya.
Malangnya, jawapan beliau,'' Tak boleh dah. I beritahu ini pun supaya you tidak terkejut dengan keputusan akhir you nanti,'' tambah beliau.
''Takkan tak boleh buat apa-apa. boleh saya tahu siapa penilai kedua saya? saya nak berjumpa dengan dia.'', saya bertanya lagi mengharapkan masih ada peluang untuk saya.
'' Penilai yang lain itu, rahsia. Macam I cakap tadi, tak boleh buat apa-apa dah, itu lah dulu kenapa you tak semak betul-betul '', antara ayat yang dibalasnya kepada saya. Jika anda berada ditempat saya apa agaknya yang anda rasa.
'' Macam ini lah.. I telefon ini pun supaya you boleh buat persediaan dan tidak terkejut bila dapat keputusan nanti.....'', tambah beliau lagi ..dan ayat-ayat lain yang dituturkan sudah tidak mampu saya mendengarnya dengan baik.
Selesai meletakkan gagang talipon, banyak mata rupanya yang memerhatikan saya. Biasalah.. panggilan talipon di pejabat. Antaranya tuan pengetua sendiri. Beliau mungkin dapat membaca apa yang saya rasa.. cuma tidak pasti punca masalahnya. Sebaik sahaja saya menurutinya ke kamar pejabatnya, beliau terus bertanya,''kenapa..? ada masalah ke? ''
Masih cuba mengawal perasaan, saya menjawab, '' Puan, tadi supervisor saya call, dia kata, kertas projek sarjana saya ada kesilapan , jadi dia kata saya mungkin gagal''. Waktu ini, habis sahaja ayat terakhir, sudah tidak terkawal lagi. Saya masih ingat.. tanpa mengira dengan siapa saya berbicara, air mata ini dah mencurah-curah tanpa henti. Beliau terus memujuk..dengan pelbagai kata-kata yang enak didengar.. Sehingga akhirnya, saya berkata, ''Puan saya nak balik ke rumah sekarang juga. Saya tidak kira puan izinkan atau tidak.'', nekad saya memberitahunya.
Alhamdulillah , memang 'supportive', dia mengizinkan saya pulang, sambil berpesan agar saya memandu dengan berhati-hati. Terima Kasih Puan kerana memahami situasi saya di waktu itu.
Setibanya di rumah, suami masih belum keluar ke tempat kerja. Beliau kehairanan kerana saya pulang awal dan mengagak saya mungkin tertinggal apa-apa dokumen dirumah. Seraya dia bertanya sahaja, ''mengapa pulang awal...''.Sekali lagi, air mata yang tadinya sudah kering kini tumpah semula.. Panik juga suami waktu itu. Pada mulanya dia menyangka saya bermasalah di sekolah, seperti dimarahi pengetua. Akhirnya setelah agak reda, saya memberitahunya,'' tadi Dr... call , dia kata projek saya fail''.
..kami berbicara panjang tentang hal itu...
Terima kasih kepada suami yang tersayang kerana banyak memberikan sokongan tatkala saya menyambung pelajaran. Bukan mudah belajar secara sambilan dengan bebanan kerja di sekolah dan tanggungjawab di rumah jika tiada sokongan daripadanya.
Tidak ketinggalan, emak juga tempat mengadu. Saya menceritakan segala-gala kepadanya.. Bagai kelazimannya, emak dengan optimis menyatakan keputusan itu akan berubah. Beliau sentiasa mendoakan kejayaan saya dan meminta saya tidak memikirkan sangat kata-kata daripada penyelia tersebut. Sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah. Sejak daripada dibangku sekolah.. hingga kini..begitulah emak...dan juga abah.
Terima kasih juga kepada mak dan abah yang banyak berdoa untuk kejayaan kami adik-beradik dan memberikan sokongan sehingga kami semua berjaya.
Sejak daripada hari itu, sentiasa lidah ini basah membaca ayat 2-3 surah At Talaq ini. Apabila hati rungsing, saya membacanya.. ada masa lapang saya membacanya..rasanya sentiasa membacanya dalam masa yang sama menghayati maksudnya sekali..Jauh di sudut hati, saya yakin Allah akan membuka jalan kepada masalah saya.
Tidak ada orang lain lagi yang boleh saya harapkan melainkan pertolongan daripada Allah. Hanya Dia.
Masa berlalu, tiba satu hari saya mendapat panggilan talipon daripada rakan yang sama-sama belajar. Beliau bertanya keputusan akhir saya. Saya menjelaskan kepadanya saya masih belum melihatnya. Tidak ada kekuatan untuk mengetahuinya.
Saya tidak menceritakan semua yang berlaku kepada rakan-rakan, kecuali, pengetua, suami, mak dan abah serta kakak dan adik-adik..
Malam itu, hati bagai digaru untuk melihat keputusan semester akhir itu. Kebetulan, suami dan anak kedua tidur awal. Hanya anak yang sulung yang masih bermain kereta dan robot permainannya. Masih jelas dalam ingatan selepas saya membuka laman web universiti, pergi ke laman untuk mengetahui keputusan peperiksaan, masukkan butiran yang diperlukan..dan akhirnya, saya meminta anak yang sedang bermain itu melihat jenis abjad yang tertera di ruang itu.
Anak yang baru pandai membaca ini dengan jujur mengatakan,''ada huruf 'A' , mama''
Kurang percaya dengan jawapannya, saya bertanya lagi, '''tengok betul-betul... huruf apa lagi yang ada..kat situ.''. Saya masih tidak mampu untuk melihatnya sendiri..
Beliau berkata,'' ada huruf A sahaja..'' .'' Kenapa mama nak huruf apa?''. soalnya setelah saya bertanya berulang kali. Justeru, saya menjawab, ''mama nak huruf A''. Lalu saya dengan perlahan berserta debaran melihat apa yang tertera di skrin komputer riba waktu itu.
Alhamdulillah..memang A. Terlalu gembira dan rasa amat bersyukur pada waktu itu.., saya terus memeluk anak yang menyambung bermain tadi. Beliau yang terpinga-pinga kehairanan kerana perlakuan saya. Lantas saya bertanya,..''. anak mama nak apa..minta saja mama belikan..''. Beliau cepat-cepat menjawab,'' nak KFC.., nak makan kat situ..tak nak bawa balik..'' saya terus mengiakan.

1 comment:
hebat cerita liza ni, terharu effa baca. tapi mcm liza juga effa sgt2 percayakan ayat seribu dinar ni (sgt2 menhayati maknya nya).
Wallahua'lam
-Effa-
Glasgow
Post a Comment