Thursday 18 June 2009

Hanya Satu Cerita : Abah Saya.

Wajah abah yang tersayang ..sudah berusia..

Ahad ini, 21 hb Jun merupakan Hari Bapa di UK. Anak-anak di rumah ini terutamanya anak perempuan turut teruja menyediakan sesuatu buat abah mereka yang tersayang. Puteri sulong kami telah pun siap membungkuskan hadiah yang berupa cenderahati yang dibelinya ketika mengikuti rombongan sekolahnya ke Caerleon Roman Fortress.

Bukan setakat itu.. beliau tidak sabar-sabar untuk memberikannya kepada abahnya. Rentetan daripada itu, hadiah tersebut telah pun diberikan dan suami telah pun membukanya serta menghadiahkan anak itu dengan kata-kata terima kasih dan penghargaan. Tersenyum bangga anak kami kerana dapat memberikan abah mereka sesuatu sempena Hari Bapa ini...

Puteri yang kecil pula, hampir setiap hari..mengucapkan 'happy daddy's day' buat abahnya. Hadiah? Tentunya hasil kerja tangannya..Hmmm..terharu melihat kesungguhannya menyediakan hadiah buat abahnya yang sentiasa lekat di hatinya.

Justeru, buat saya pula melihatkan semua ini, hati ini pula teringat sahaja pada abah saya di tanahair. Teringat kembali di zaman masih kecil.. di bangku sekolah..meniti usia remaja..dan segala-galanya yang melibatkan abah..Ya, jika tidak kerana ketegasan abah mendidik kami lapan beradik juga doa daripada kedua-dua abah dan mak.. tidak mungkin kami mencapai apa yang kami ada pada hari ini.

Seronoknya hati ini berpeluang membawa abah bersiar-siar
di Kota London.

Terima kasih kepada suami yang tersayang..
..kerana membantu merealisasikan impian ini.

Abah cukup tegas. Beliau tidak perlu banyak bersuara, tapi renungan mata sudah cukup mengecutkan hati kami adik-beradik. Masih ingat lagi sewaktu kami bermain-main di luar rumah bersama kawan-kawan, tiba-tiba telinga ini seperti boleh mendengar bunyi kereta abah yang belum lagi kelihatan, serta merta kami adik- beradik berlari pulang ke rumah.. dan menyambut kepulangan abah yang pulang kepenatan dari tempat kerja.

Selalunya kami akan bergegas menyambut bekas bekal makanan yang dibawa baliknya, atau apa jua yang beliau bawa pulang. Kemudian, masing-masing akan menuruti abah masuk ke rumah.. Abah pula pasti akan bertanya '' dah makan?'', ''hari ini buat apa''...

Hmmm soalan yang pertama tu tiada masalah nak menjawab.. cuma yang kedua.. memang payah sikit..terutama jika ada benda yang sememangnya menimbulkan kemarahan abah..Jadi, siapa yang rasa ada buat hal tu..biasanya duduk jauh sikit..kecut.

Kadang-kadang abah akan mendekati peti televisyen dan merasanya..panas tak.. hehe..kalau panas bermakna kami lama menonton TV. Ini pun abah tak suka juga.. Waktu-waktu begini biasanya mak akan membela dan menyelamatkan kami dari di marahi dengan menyatakan Mak yang menonton TV bersama adik yang kecil..yang lain buat homework..atau banyak tolong mak.. Hmm selamat la..Tapi kami tahu, abah tak percaya tentang alasan itu, tapi dia hanya memandang sahaja kepada kami ..mungkin beliau malas membesarkan keadaan...

Abah suka melihat dan menikmati pemandangan..
..sebelum ini beliau hanya menikmati pemandangan ..
..seumpama ini di kaca TV sahaja.

Sebagai tentera, abah bekerja 6 hari seminggu.. termasuk separuh hari di hari Sabtu. Jika tidak silap terdapat satu hari dalam sebulan abah akan 'duty' bermakna abah tidak akan pulang ke rumah untuk semalaman. Waktu hari begini, kami pula ambil kesempatan untuk menonton TV..sebab mak sudah tentu akan mengizinkan dengan syarat semuanya berkelakuan baik.Buat apa yang mak suruh.

Kadang-kadang mak akan berkata untuk mengusik kami..''kucing tak ada tikus bukan main la..''.Ya, kalau abah tidak ada di rumah rasa bebas sikit hendak menonton televisyen.. Jika tidak, hanya Berita atau Rencana sahaja.. yang lain-lain ..tutup TV. Masa tu memang rasa 'tension' nya..Maklum la..budak-budak.

Kata abah.. Bath adalah bandar yang sangat menarik..
Bath tampak berbeza dari bandar-bandar lain yang kami telah bawa..di UK ini.

Seingat saya, soalan yang biasa abah tanya kepada mak setiap kali beliau balik kerja.. semuanya berkaitan dengan kami adik beradik.. seperti, '' Anak-anak dah makan ke belum..?'', sebelum beliau menjamah makanan yang dihidangkan untuknya. '' Anak-anak buat apa hari ini..?'', '' Anak-anak mengaji tak'', '' Anak-anak dah sembahyang ke belum..'', '' Anak-anak main kat mana hari ini''.. hampir setiap masa soalan yang sama...berkisar tentang anak-anak.

Abah juga kerap bercerita kepada kami.., kisah-kisah '' Sang Kancil yang bijaksana'', kisah-kisah rakyat..seperti ''Pak Pandir'', ''Lebai Malang'', ''Pak Kaduk'', ''Si Tanggang'' , ''Si Luncai'', '' Dua Ahmad'', dan kisah beliau sendiri semasa beliau masih kecil serta kehidupan yang dijalaninya. Abah suka bercerita kepada kami. Semasa beliau bercerita selalunya kami yang masih kecil akan baring berbantalkan lengannya. Abah pandai bercerita..Ceritanya bukan senada, ada dialog, dan memang cukup menghiburkan hati kami adik-beradik.

Di akhir cerita atau bila ada kesempatan abah juga tidak jemu-jemu pula mengaitkan dengan kami pula..tentang pentingnya kami belajar bersungguh-sungguh supaya memperolehi pekerjaan yang baik bila sudah dewasa nanti. Abah kata abah nak semua anak-anaknya berjaya masuk ke universiti.

Kadang-kadang rasa khuatir sahaja jika tidak dapat mencapai apa yang beliau harapkan..tapi itulah abah juga selalu kata. '' Boleh..'' '' kena tekun''..'' jangan ikut kawan'', ''tengok macam mana kawan yang pandai tu belajar'', ''tak faham tanya kat cikgu''..,'' buat sampai dapat'', '' belajar memang susah..tapi kena usaha sampai dapat''., '' abah dulu tak ada peluang sebab orang susah..''

Dan rasanya buat diri saya, tanpa disedari semuanya lekat rupanya di minda ini..Terima kasih tidak terhingga buat abah yang tidak jemu-jemu memberikan dorongan sehingga kami semua tamat pengajian.Semuanya berkat doa mak dan abah juga.

Abah berhenti rehat sambil menikmati minuman panas..
setelah berpeluang membeli sepasang sepatu Clarks untuk dirinya.
( Ralat : Clarks Village..not Clark Village)

Gaji seorang tentera yang berpangkat biasa dengan anak-anak yang ramai dan tinggal pula di bandar besar Kuala Lumpur tentu agak memeritkan. Bila difikirkan kembali, padanlah abah begitu berjimat cermat. Mak juga begitu. Cuma kami anak-anak yang masih terlalu mentah untuk memahami realiti kehidupan.

Kehidupan kami tidak mewah segala-galanya sederhana. Seingat saya tak pernah pergi bercuti ke mana-mana yang jauh..kecuali pulang ke kampung di Pulau Pinang.. Balik Pulau dan Teluk Kumbar. Itu pun sudah menggembirakan hati kami semua. Pakaian pun sekadar ada, tidak mewah. Abah beli yang murah tetapi nampak elok. Cuma di pihak mak dan abah sahaja rasanya jarang membeli pakaian baru. Mereka pakai sahaja apa yang ada selagi masih elok.

Teringat juga bila kawan-kawan sekolah bercerita tentang berkelah di Morib, Port Dickson..saya hanya mampu mendengar sahaja. Saya sudah maklum tempat-tempat begitu sudah tentu kami tidak dapat pergi. Bila tiba masa untuk buat karangan semuanya berdasarkan hasil pembacaan atau cerita kawan-kawan sahaja.

Sungguhpun demikian, abah bawa juga kami berjalan-jalan ke tempat-tempat seperti Muzium Negara, Tugu Negara, Taman Tasik Perdana, Zoo Negara dan Bukit Belacan..(nama baru kini Taman Rimba Ampang). Kadang-kadang abah bawa kami bersiar-siar di waktu malam melihat lampu-lampu dan bangunan di bandaraya Kuala Lumpur atau melihat kawasan perumahan orang-orang kaya seperti di Ampang Jaya atau kini Taman TAR.

Itupun sudah lebih daripada seronok sangat. Dalam perjalanan atau ketika bersiar-siar..seingat saya memang sering abah akan bercakap tentang pelajaran. Pentingnya belajar, pentingnya berusaha, pentingnya berjimat- cermat...sentiasa penuh dengan nasihat.

Kami kadang-kadang kami dah lali dengan semua itu dan sudah boleh mengagak apa yang abah akan kata..tapi itulah abah tak pernah penat untuk berkata-kata.. memberikan dorongan setiap masa.

..Sempat juga kami membawa Abah melihat Stonehenge..
..walaupun hanya dari luar pagar..

Kiranya tempat inilah penutup tirai kunjungan abah dan semua ke negara ini.

Rindu pula semasa zaman dahulu, semasa menjadi 'anak-anak'. Semasa berkumpul adik-beradik dan makan bersama mak dan abah.. Abah pun bertenaga lagi.. ke sana-sini..Kini, hakikatnya semuanya telah berlalu.. masing-masing sudah dewasa dan mempunyai keluarga sendiri..Mak dan Abah pula semakin di mamah usia.. Hukum Alam..siapalah kita hendak menidakkannya.

Antara kita pun tidak tahulah siapa yang akan dijemput dahulu.. semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita semua dan menjemput kita dalam keadaan kita beriman kepadaNYA. Mati itu pasti ..hidup ini Insya Allah.

Abah ..ketika pulang daripada 'car boot sale' ..
Abah bertegas mahu mengikut kami berjalan kaki kerana dia ingin melihat ..
..sendiri laluan harian kami ke sekolah.


Kini, semakin usia saya meningkat..begitulah juga dengan usia abah dan mak, garis-garis tua telah ketara di kulit mereka. Kulit yang dahulunya anjal kini semakin kendur. Tenaga pun semakin lemah tapi itulah abah masih mahu bekerja. Atas alasan tidak mahu menyusahkan anak-anak..untuk menanggung perbelanjaan seharian di rumah.

Teringat pula, bila mengadu pada abah..tentang susahnya alam pekerjaan dulu, abah kata, ''kerja memang la susah..tapi kenalah sabar.. lama-lama senang la..'','' Buat apa-apa pun semuanya susah dulu tapi kena sabar''.Kata abah lagi , abah kerja pun bukannya senang tapi abah buat juga untuk membesarkan kami adik-beradik..nak beri pelajaran yang sempurna agar hidup senang di belakang hari . Abah tidak bergantung kepada orang lain. Semuanya diusahakan sendiri. Abah juga pernah kata, ''sikit buat cara sikit, banyak buat la..cara banyak..Tapi masa ada duit lebih kenalah simpan dan beringat masa depan.''

Abah memang hebat. Jika tidak kerana abah meletakkan kepentingan dirinya di tempat kedua sudah tentu kami semua tidak seperti hari ini.

Waktu ini semuanya sudah bersedia untuk berangkat ke London..
Sedih...sedih... kalau boleh kami sekeluarga pun nak pulang juga hari itu...
Abah dan Mak kata..,'' tak pa tak lama lagi hang pa balik la..dah tak lama..''.

Sejak di bangku sekolah saya memang suka membaca. Pada suatu ketika setiap kali mengikut abah ke kedai-kedai, terjumpa sahaja kedai yang menjual buku atau majalah kanak-kanak, saya pasti akan meminta padanya,..'' abah nak buku cerita..'', Tapi selalunya abah akan kata '' nanti lain kali..kedai ni mahal..'' . Tiap kali abah pulang dari bekerja, saya akan bertanya, '' abah nak buku cerita''. Abah tak marah tapi abah akan kata, '' nanti abah cari .. ''.

Sehinggalah satu hari rasanya hari Sabtu, abah pulang sahaja daripada bekerja, abah panggil saya datang kepadanya. Beliau memberikan rasanya dalam sepuluh atau berbelas buku-buku cerita yang dipinjam daripada perpustakaan..Saya rasa cukup gembira..kerana akhirnya saya dapat juga buku cerita walau ianya cuma pinjaman. Ya, abah dan mak sentiasa memberi galakkan untuk kami membaca..

Gambar ini menunjukkan kami berhenti rehat..ketika dalam perjalanan
ke Stansted Airport.

Seperti biasa mesti mahu membeli minuman panas.. Abah dah kata biarlah abah belanja pula..asyik anak-anak menantu je.. yang belanja. Tapi rupanya tak sempat juga.Antara kami juga yang belanja.. tak pe la..abah..kami semua sayangkan abah.
Biarlah kami sahaja yang belanja abah...


Cukup menyentuh hati ini sewaktu balik beraya tahun lepas 2008. Abah yang dahulunya pernah bekerja sebagai pemandu teksi dan mahir mengenai selok-belok jalanraya di Kuala Lumpur tapi tersesat ketika datang untuk berbuka puasa bersama di rumah adik di Serdang.

Begitu juga ketika dalam perjalanan daripada KLIA ke rumah pada hari kami sampai di Malaysia. Beliau sesat juga untuk pulang ke rumah. Matanya sudah tidak 'seterang' dulu. Belasnya rasa di hati.. mengenangkan keadaan abah yang tersayang ini.

Entah apa yang abah fikirkan..
Akan tetapi saya masih ingat abah ada bertanya tentang kerja saya di sini.
''Tak pa..la abah..dah tak lama..dah..keje ni''

Wajah ini sudah tidak segarang dahulu.. nada suara juga sudah semakin kendur.. tidak setegas dahulu..tapi abah tetap sama..percakapannya sentiasa dipenuhi dengan nasihat demi nasihat.. Meskipun enam daripada lapan anaknya sudah berkeluarga.. masih terasa beliau tetap mengambil berat tentang apa yang kami lakukan.

Mahalnya harga pengorbanan abah kepada kami. Tidak terbalas rasanya atas segala-galanya yang telah beliau berikan. Tapi itulah seperti iklan Petronas Hari Raya 'No Charge', sedikitpun beliau tidak meminta untuk dibalas. Segalanya ikhlas untuk anak-anak...

Abah ketika di Stansted Airport sebelum berangkat pulang ke Malaysia
setelah berada 10 hari di UK ini.

Semoga Allah memberkati kehidupan Abah dan Mak dunia dan akhirat. Tidak sabar rasanya mahu pulang ...ke tanahair. Saya pasti abah tidak pernah melupakan kami daripada doanya agar dipermudahkan segala urusan ..agar kami sekeluarga dapat kembali bersama ke tanahair juga...dan pastinya mendoakan agar kami semua, anak-anak, menantu-menantu, cucu-cucu...sentiasa memperolehi keberkatan hidup dunia dan akhirat.

Sungguh bertuah kami semua ditakdirkan Allah memiliki ibubapa seperti Abah dan Mak di dunia ini. Alhamdulillah.

''Selamat Hari Bapa''
..buat abah tersayang di tanahair ..

1 comment:

Anonymous said...

Salam... Akak beruntung dapat Abah yang sedemikian. Alangkah bertuahnya saya jika memiliki bapa seperti Abah akak.