Monday 26 October 2009

Hanya Satu Cerita : Suatu masa dahulu..

gambar hiasan..musim sejuk 2009

Masa tiba-tiba terasa amat pantas berlalu. Tempoh tiga tahun yang dahulunya terasa sangat lama kini amat pantas sekali. Tidak terkejar rasanya.Anak-anak juga bagaikah sekelip mata membesar..dan semakin matang.

Hmm..teringat pula semasa saya seusia dengan mereka.. ( dibangku sekolah rendah) dahulu. Waktu itu memandangkan adik-beradik saya ramai dan saya anak yang kedua ..jadi, seawal 9 tahun saya sudah mula menyeterika pakaian sekolah sendiri dan milik adik-adik. Kadang-kadang dek kerana terleka dan seterika pula jenis lama, ada juga tertinggal kesan seterika di baju putih sekolah.. hehe. Nasiblah.

Gambar hiasan
kenangan di Bath bersama.. mak dan abah.

Seingat saya, rutin harian di waktu itu jika hari cuti , agak mudah.. pagi-pagi lagi mak atau abah akan mengejutkan kami adik-beradik untuk bersolat subuh.. Adakalanya memang malas betul nak bangun .. terutamanya kalau mak yang kejutkan.. panggil la..macam mana pun.. mesti jawapnya sekejap lagi.

Sebaliknya, jika abah yang datang.. tah kenapa, bunyi tapak kaki pun dah boleh bangun.. hehe.. Abah memang garang..atau tegas. Kecut betul dibuatnya.

Gambar hiasan
'Adik'..juga teman sepermainan semasa kecil dahulu..
..dilahirkan yang ketiga selepas saya..

Selepas solat dan bersiap.. antara kami empat beradik yang teratas mengambil giliran masing-masing untuk mengemas bilik-bilik tidur, mengemas ruang tamu, membersihkan halaman rumah serta menyiram pokok-pokok bunga mak dan menolong mak di dapur iaitu membasuh pinggan mangkuk serta menjemur pakaian. Kalau dah siap kerja rumah boleh la.. bersarapan bersama..masa nie semuanya nak makan cepat-cepat..Ini kerana, siapa yang terakhir dialah yang akan bertanggungjawab untuk mengemas meja makan sekaligus membasuh pinggan mangkuk untuk adik-adik yang lebih kecil.. hehe..

Selepas siap semuanya, selalunya abah akan suruh ambil buku dan baca atau menyiapkan kerja rumah.. , bermain atau apa-apa sahaja .. kecuali menonton televisyen.

gambar hiasan
Satu-satunya saudara saya yang tertua..
..beliau cukup suka membaca dengan kuat.. buku-buku bahasa Inggeris
setiap kali waktu petang..



Jika membuat kerja sekolah pula, saya masih ingat, memandangkan keadaan dalam rumah agak gelap dan sempit .. biasanya kami akan mengambil meja besar atau kecil untuk sofa di ruang tamu, untuk dibawa keluar rumah dan diletakkan di ruang abah memarkirkan keretanya. Disitulah kami akan membuat kerja sekolah bersama-sama. Tin-tin susu yang besar pula akan digunakan sebagai tempat duduk. Masa tu rasa dah cukup selesa.. sekali. Maka, duduklah kami empat beradik di situ.. memandangkan yang lain kecil lagi.. mereka akan bermain disekitar kami.. ( dalam masa yang sama kena jaga adik juga..sebab mak sibuk mencuci pakaian..)

.. sekitar pukul 10.30 pagi, biasanya saya akan pergi membeli ikan pada penjual ikan dan sayur bermotor yang datang..untuk membeli ikan dan sayur.. Selalunya saya kan membeli ikan kembung sekilo dan sayur kangkung atau bayam 50 sen dan cili masak 20 sen. Dah boleh hafal sebab hampir setiap hari menu yang sama. Kari ikan dan sayur masak air.. serta sambal belacan.. hehe. Itupun sebenarnya saya beli jika stok ikan dan sayur yang abah beli di pasar borong sudah habis atau abah tidak sempat untuk ke pasar borong pada hujung minggu.

Gambar hiasan
..dilahirkan yang keempat..
..tugasnya ialah membersihkan laman rumah dan menyiram pokok-pokok bunga
..
suatu waktu dahulu..

...hmm.. saya masih ingat.. ada juga kami menyuarakan pada mak dan abah..selalunya lauk menu yang sama..Hari-hari kari... .Akan tetapi kata mak, kalau masak yang lain.. tak jadi lauk.. habis begitu sahaja..Akan tetapi kalau masak kari, jika lauknya habis.. kuahnya masih boleh dimakan dengan nasi , cucur atau lempeng ..tak pun dipecahkan telur di dalamnya..Mak juga pernah kata, ''.. bersyukur dengan apa yang ada..''..dan kadang-kadang,..'' mengukur baju biarlah dibadan sendiri..''. mendalam tu..maksudnya.. dulu tak faham sangat..tapi kini..baru sedar..akan semua maksud yang tersirat.

Gambar hiasan
Antara kenangan di London..menikmati keindahan pemandangan sekitar
..Sungai Thames dan Tower Bridge


Abah? seingat saya... setiap kali makan malam.. sebelum abah menjamah nasi, dia pasti bertanya.. ''anak-anak dah makan..ke belum.. kalau belum makan..beri anak-anak makan dahulu..''.

Jadi, abah akan makan dengan apa yang tinggal untuknya.Hmm... baiknya hati abah. Kami? seingat saya.. waktu malam.. mak biasanya akan menyuapkan kami adik-beradik..hehe.. Seronoknya..kalau nasi masih panas.. mak akan bulat-bulatkannya..terlebih dahulu. Jadi, mak akan bawa sepinggan nasi dan secawan besar air.. sambil mak menyuap .. kami menonton televisyen atau membuat kerja sekolah... atau bermain bersama..

Indahnya waktu itu...

1 comment:

Tukang cerita said...

salam kak lieza...
sgt2 menyentuh hati mbaca kisah hidup kak liza...
namun, semua pngalaman inilah yang mjadi nostalgia indah untuk dikenang, kan?
:)