Saturday 22 August 2009

Perkongsian Ilmu : Tanda Kasih Sayang

Gambar hiasan
..Dynant, Belgium ..Home of Saxofon.

Salam.. Sekali lagi saya ingin berkongsi dengan semua ..antara isi kandungan sebuah artikel oleh Suzana Ghazali daripada lamannya Resepi Hidup Bersama Suzana Ghazali. Isi kandungan yang lengkap rujuklah pada lamannya.. Artikel di laman ini saya telah ubahsuaikan sedikit untuk paparan di laman saya ini ( hanya dari segi memasukkan gambar-gambar...).

Gambar hiasan

Kisahnya bermula..
..,


Teringat saya satu kisah yang disiarkan dalam satu siri Bersamamu TV3. Seorang ayah berusaha melakukan pelbagai jenis pekerjaan sehari. Seawal pagi membantu isteri menyediakan bungkusan nasi lemak dan kuih untuk dijual di kantin sekolah. Setelah menghantar anak-anak ke sekolah, beliau kembali ke rumah dan bersama isteri menyediakan makanan ringan dan minuman untuk dijual di kaki lima kedai. Sebelah petangnya pula, beliau akan mengutip tempurung kelapa untuk dikumpul dan dijadikan arang untuk dijual. Apabila diajukan soalan kepada si ayah, kenapa beliau sanggup bekerja teruk sepanjang hari? Jawab si ayah: Saya mahu anak-anak saya dapat belajar hingga ke peringkat tertinggi sebab saya tahu, hanya ilmu sajalah boleh membuatkan anak-anak saya berjaya dan tak hidup susah macam saya lagi. Hanya ini tanda kasih sayang saya kepada anak-anak.

''Saya juga mahu anak-anak saya dapat belajar hingga ke peringkat tertinggi sebab saya tahu, hanya ilmu sajalah boleh membuatkan anak-anak saya berjaya...dan biarlah mereka seimbang ilmu dunia dan akhirat...Amin.


Dalam satu kes yang lain, seorang ibu meluahkan rasa sedih dan kecewa dengan kegagalan anaknya di dalam pelajaran. Segala keperluan dan permintaan si anak dituruti. Nak duit, cakap saja nak berapa, mesti dapat. Hatta walau masih belajar, si anak dah punya sebuah kereta sendiri. Malangnya, si anak memberikan sebuah kekecewaan kepadanya dan suami.

Tambah menyesakkan dada apabila anak saudaranya yang sebaya dengan anaknya, berjaya dengan cemerlang sedangkan kakak dan abang iparnya hanyalah bekerja biasa dengan pendapatan kecil. Sambil menangis beliau meluahkan: Segala kasih sayang saya dan suami langsung tak dihargai oleh anak saya.

Gambar hiasan

Tiga kes yang saya paparkan setiap satunya mewakili satu perkara yang sama iaitu tanda kasih dan sayang. Setiap individu mempamerkan kasih sayang mereka dengan cara yang tersendiri. Usaha dan pengorbanan adalah antara tanda kasih sayang yang biasa dan selalunya tanda kasih sayang ini akan membawa kebahagiaan kepada individu-individu yang terlibat.

Rasanya sudah berulang-kali saya ceritakan kepada anak-anak..
..bukan mudah untuk mencapai kejayaan atau kesenangan.. semuanya memerlukan usaha.. ..yang gigih juga seiring dengan memohon pertolongan daripada Allah juga ..
..doa ibubapa sekiranya mereka masih hidup
.

Pada zaman serba moden ini, harta dan wang ringgit juga mula menjadi tanda kasih sayang. Malangnya belum pernah ada satu pun kes keluarga yang mencapai bahagia kerana kasih sayang berasaskan harta dan wang ringgit tersebut. Saya akui, dunia hari ini serba serbinya memerlukan wang. Nak buang air yang tak boleh dikitar semula tu pun memerlukan wang. Namun perlu diingat… wang tidak boleh membeli kasih sayang yang sejati. Kasih sayang palsu memang mudah. Hulur saja RM10, orang tak der akal pun boleh ucapkan sayang.

Dalam mendidik anak-anak, wang ringgit bukan jaminan anak anda boleh berjaya dan membahagiakan anda. Sebaliknya, wang ringgit itulah yang akan merosakkan anak anda. Saya faham, ada ibu bapa yang pernah hidup susah tika membesar dan tidak ingin anak-anak mereka merasai apa yang pernah mereka rasai. Saya hormati pendirian dan niat baik anda. Cuma satu perkara yang mesti anda ketahui, belum ada tokoh di dunia ini sama ada yang masih hidup atau telah mati, berjaya mencipta kecemerlangan tanpa mengharungi kesusahan dan kepayahan. Bukanlah buku sejarah, baca dan selidiklah. Rata-rata tokoh yang menyumbang kepada segala pembangunan negara dan dunia, bermula dari hidup yang susah dan berdikit-dikit untuk merasai kehidupan yang senang.

Walau banyak masa kami peruntukkan untuk 'mengukur jalan' di kota Brussel ini.. dan banyak juga permintaan anak-anak ini kami tapis dengan beralaskan sebab-musababnya. Alhamdulillah, setiap ketika mereka tetap menikmati masa-masa kualiti bersama.

Kenapa? Hanya mereka yang tahu erti susah sahaja yang akan berwaspada dalam setiap gerak gerinya dan betul-betul menghargainya kehidupannya. Hanya orang yang pernah susah sahaja yang mempunyai azam dan tekad untuk keluar dari kesusahan yang dialami. Dengan azam dan tekad itulah mereka akan berusaha sedaya upaya, sanggup menempuh apa jua ujian demi mencapai cita-cita dan hasrat yang terpendam. Malah anak-anak didikan hasil kepayahan ini akan lebih menghargai setiap apa yang mereka miliki. Sebaliknya jika anak-anak yang sejak lahir hingga dewasa tidak pernah kenal erti susah, mereka bukan saja susah untuk berjaya malah susah untuk menerima ujian hidup. Apa tidaknya, sebut saja nak apa, sebut saja nak berapa, segalanya bagai semudah memetik jari. Habis, nak fikir apa lagi?

Untuk membawa mereka menjelajah semua monumen terkenal di Europe ini ..
..memanglah diluar kemampuan kami..
Jadi, cukuplah dengan melihatnya dalam bentuk mini monumen sahaja. Sempat juga mengingatkan mereka..untuk mengucapkan syukur kepada Allah betapa beruntungnya diri mereka kerana diizinkan Allah melihat semuanya ini, juga menjejaki kaki ke luar negara..


Saya bukan melarang anda melimpahkan harta untuk anak-anak. Ya, esok-esok harta tu akan jadi hak mereka juga andai maut menjemput anda. Saya faham semua tu. Cuma nasihat saya, jika anda benar-benar sayangkan anak-anak anda, jangan taburkan kasih sayang anda melalui harta. Tak salah memberi bila anak-anak meminta tetapi hadkan dan biarlah kena dengan keperluan dan had usianya. Paling penting, jangan abaikan didikan dan perhatian anda kepada mereka. Tanamkan dalam diri anak-anak dengan ilmu yang mencukupi termasuk ilmu agama. Jika anak anda berilmu, dia akan dapat menambahkan harta yang bakal anda wariskan kepadanya sebaliknya jika anak anda tidak berilmu, harta yang anda akan segera habis sebelum harta tersebut betul-betul menjadi haknya malah hidupnya akan mudah hancur dan memberikan kekecewaan kepadanya dan anda.

.....
****Siaran Oktober 2006

Nota daripada saya :.... Artikel ini mengingatkan saya kepada mak dan abah di tanahair.. terutamanya pada Kes pertama.. kisah ayah yang melakukan pelbagai pekerjaan dalam sehari.. dan bait-bait pada perenggan berikut :

''Apabila diajukan soalan kepada si ayah, kenapa beliau sanggup bekerja teruk sepanjang hari? Jawab si ayah: Saya mahu anak-anak saya dapat belajar hingga ke peringkat tertinggi sebab saya tahu, hanya ilmu sajalah boleh membuatkan anak-anak saya berjaya dan tak hidup susah macam saya lagi..''.

Ayat yang hampir sama..yang pernah abah ucapkan kepada saya pada suatu waktu dahulu..ketika menghantar saya pulang ke asrama.. dan antara penambahannya, saya mesti berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah berputus asa.. untuk menjadi contoh kepada adik-adik..

Kini, dengan tiga cahaya mata..ini .. bukan senang rupanya hendak mendidik.Tambahan pula, situasinya kini berbeza..Cuma yang pasti, tidak mudah anak-anak ini hendak mendapatkan sesuatu daripada kami suami-isteri. Dari semasa ke semasa kami cuba menjelaskan kepada anak-anak sebab-musabab kenapa kita tidak boleh menjadi seperti orang lain...dan sebab yang paling utama.. pastinya kerana..
''we love the three of you!''

Semoga kata-kata nasihat di bawah ini sentiasa menjadi ingatan saya ..

''Jika anda benar-benar sayangkan anak-anak anda, jangan taburkan kasih sayang anda melalui harta. Tak salah memberi bila anak-anak meminta tetapi hadkan dan biarlah kena dengan keperluan dan had usianya''- Suzana Ghazali

No comments: